Lingkaran Tengah Seremban (MRRS) Siap Sepenuhnya

SEREMBAN – Mengorak langkah sebagai sebuah negeri yang maju dan mempunyai infrastruktur terbaik merupakan hasrat dan agenda utama pembangunan yang kian rancak dijalankan. Fokus yang di ambil kira dalam melengkapkan ciri-ciri sebuah negeri maju adalah usaha menaik taraf sistem pengangkutan termasuklah memperbaiki sistem lalu lintas yang bakal menghubungkan Seremban dan bandar-bandar pesat sekitarnya.

Pengguna jalan raya di bandar ini sudah mula menarik nafas lega kerana tidak perlu lagi berhadapan kesesakan di pusat bandar untuk ke Rasah, Rahang, Ampangan dan Senawang. Apa tidaknya, mereka boleh terus ke destinasi berkenaan dengan menggunakan sebahagian Jalan Raya Lingkaran Tengah Seremban (MRRS) yang sudah boleh digunakan hari ini.

Perlaksanaan projek Jalan Lingkaran Tengah Seremban (MRRS) yang kini memasuki fasa ketiga dan terakhir merupakan sebuah projek yang melambangkan Seremban sebagai sebuah bandar yang teratur. Pembinaan fasa terakhir MRRS ini akan dilaksanakan dibawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Projek Jalan Lingkaran Tengah Seremban sepanjang 20.5 kilometer bernilai RM2.4 bilion ternyata akan memberi impak besar kepada rakyat Negeri Sembilan, khususnya bagi penduduk Seremban. MRRS dilaksanakan secara berfasa bermula dari Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dan dijangka siap dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Menteri Besar N.Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan turut menjelaskan bahawa projek pembinaan MRRS ini merangkumi intipati dasar yang giat di usahakan kerajaan dalam membawa kemajuan negeri sekaligus bersaing dengan Bandar-bandar besar di seluruh Negara.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur, Air, Tenaga dan Telekomunikasi negeri, Datuk Ismail Lasim berkata, asas utama pembinaan MRRS ini adalah untuk mengurangkan kesesakan di pusat Bandar di mana pada masa yang sama pengguna jalan raya yang hendak ke destinasi di pinggir bandar ini tidak perlu memasuki pusat bandar untuk tujuan tersebut.

Menurut Ismail, projek yang dibangunkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu telah melibatkan beberapa fasa dan ketika ini hanya separuh daripada lingkaran tersebut telah pun siap dibina dan dibuka kepada pengguna jalan raya.

Sejak beberapa laluan dibuka, kadar kesesakan di pusat bandar didapati semakin berkurangan dan ia telah memberi kemudahan kepada orang ramai, khususnya taman-taman perumahan berdekatan laluan tersebut. Selain itu, peruntukan projek berkenaan yang diperoleh daripada Kerajaan Pusat dan ia telah dibina oleh kontraktor Temokin Villa Jelas Sdn. Bhd melancarkan lagi pembinaannya.

Dalam RMK-9 iaitu dari tahun 2006 hingga 2010, kerja-kerja perlaksanaan telah berjaya dijalankan mengikut turutan yang bermula dari Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 2A. Ketelusan dalam menjayakan pembinaan jalan tersebut ternyata mendapat kelebihan bilamana baki peruntukan dalam RMK-9 telah digunakan untuk membina struktur laluan bertingkat melalui Sungai Kepayang di sini, yang mana kita gelarkannya Fasa 3A.

Melalui perlaksanaan pembinaan MRRS itu, ianya juga merupakan satu projek untuk kepentingan rakyat yang dilihat hari ini memberi kemudahan kepada mereka.

Secara jelas, melalui perlaksanaan MRRS ini Kerajaan telah meminimakan pengambilan tanah, kerosakan alam sekitar dan membuat jajaran laluan yang seboleh-bolehnya membawa keselesaan kepada semua. Melalui projek MRRS Fasa 1 ia juga telah melibatkan beberapa penyambungan laluan yang sedia ada dengan tujuan penyuraian trafik.

Projek itu telah dimulakan pada tahun 2003 dan siap pada tahun 2006, dengan melibatkan laluan sejauh 7.5 kilometer termasuklah penyuraian di Jalan Haji Said. Fasa 1 ini juga melibatkan laluan dari Taman Dusun Nyior, Jalan Dato’ Muda Linggi, Jalan Dato’ Siamang Gagap, begitu juga Jalan Rasah iaitu melibatkan laluan Hospital Tuanku Ja’afar sehinggalah penyambungan persimpangan ke Port Dickson di mana kos untuk Fasa 1 ini melibatkan sejumlah peruntukan RM210 juta.

Fasa 2 pula melibatkan jarak 7.3 kilometer dengan kos sebanyak RM277 juta. Projek ini bermula pada tahun 2006 hingga 2009. Ia melangkaui kawasan di Rasah dan meliputi laluan di Kampung Semarak, Kampung Pasir, Kampung Dato Mansor, Kampung Baru Rasah, Taman Bukit Chedang sebelum persimpangan bertingkat di Taman Permai.
Fasa ini juga melibatkan penyambungan di Taman Permai III, melalui Kemayan Square sehinggalah ke persimpangan lampu isyarat Taman AST (Jalan Sungai Ujong).

Manakala Fasa 2A pula melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM173 juta di mana ia akan menyambung laluan terhenti dari Rasah (hadapan stesen minyak Mobil) hingga ke pusat bandar. Ianya akan melalui jejantas dan tidak menjejaskan padang Sekolah Menengah KGV Seremban, sebaliknya menyusur di sebelah laluan kereta api dan masuk semula di Jalan Tuanku Antah dengan susur baru hadapan Pejabat Pos Seremban.
Selain itu Fasa 2A ini juga melibatkan pembinaan persimpangan bertingkat di Taman Bidara selain persimpangan yang sama di Taman Permai III serta beberapa jambatan kecil.

Kesemua projek pembinaan Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 2A ini sedang dilaksanakan oleh kontraktor yang sama iaitu Temokin Villa Jelas Sdn. Bhd.

Sementara itu, untuk projek penyambungan laluan dari Taman Permai sehingga ke persimpangan Jalan Labu (bersebelahan Muzium Negeri) sedang dijalankan bermula Jun lalu.

Sehubungan itu, dengan baki daripada peruntukan RMK-9 yang ada, Kerajaan Negeri akan membina struktur laluan bertingkat Fasa 3A di sepanjang Sungai Kepayang sejauh 900 meter, di mana kosnya sekitar RM100 juta.

Bagaimanapun keseluruhan projek melengkapkan MRRS ini dalam Fasa 3 dimasukkan dalam RMK-10 dan kerajaan negeri berharap ia dapat direalisasikan impian itu di mana, untuk melengkapkan MRRS itu, kerajaan berharap dapat memperoleh peruntukan sebanyak RM500 juta dalam RMK-10 daripada kerajaan pusat.

Projek Fasa 3 ini akan mencakupi laluan di persimpangan Jalan Labu, Jalan Bukit Galena, Jalan Bukit Gala, Jalan Mantin, Jalan Temiang sehinggalah Jalan Temiang sebelum kembali bertemu di persimpangan bertingkat Jalan Siamang Gagap.

Walau bagaimanapun, kos yang dinyatakan pada Fasa 1, Fasa 2, Fasa 2A dan Fasa 3A hanya melibatkan kerja pembinaan jalan MRRS sahaja sementara kos pengambilan balik tanah sebenarnya membabitkan jumlah sebanyak RM210 juta.

Apa yang jelas, Kementerian memberi keutamaan pada projek ini supaya boleh disiapkan dalam RMK10 yang mana kita percaya bahawa projek ini apabila siap kelak akan memberi banyak faedah kepada seluruh rakyat di Negeri Sembilan dan khasnya pengguna jalan raya di kawasan Seremban.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment