UiTM Rembau Wujudkan Pembangunan Secara Berinstitusi


Oleh SALAWATI HARIS

Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan
REMBAU, 09 Julai - Pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, Negeri Sembilan di tapak seluas 32.4 hektar bakal mewujudkan pembangunan secara berinstitusi, sekaligus memberi peluang kepada rakyat di negara ini untuk menimba ilmu dalam pelbagai jurusan.

Kewujudannya selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan yang mahu menjadikan negeri ini sebagai negeri 'Lembah Ilmu' untuk melahirkan lebih ramai lagi Pendeta Za'aba.

Melihat kepada perkembangan pembinaan UiTM Kampus Rembau yang telah memulakan pembinaan pada 2014, pembinaannya lebih cepat daripada yang dijadualkan.

Universiti Awam yang berada di Rembau ini adalah kampus ketiga di Negeri Sembilan selepas UiTM Kuala Pilah dan Seremban 3. Kawasan pembinaannya terdiri daripada 90 peratus kawasan kampung tradisional, kawasan perumahan yang tidak begitu besar, selain pekan kecil Pedas dan pekan Rembau sendiri.

Menerusi pembinaan universiti ini, ia dijangka turut mampu memenuhi strategi kerajaan dalam menambahkan kependudukan di negeri ini.

Pada ketika ini Rembau telah sedia mempunyai kemudahan pendidikan yang lengkap seperti sekolah rendah dan menengah, sekolah kebangsaan Cina dan Tamil, dua buah sekolah aliran agama dan sebuah sekolah berasrama penuh.

Menurut Exco Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong Dato’ Zaifulbahri Idris, pembinaan Kampus UiTM Rembau ini turut melengkapkan tahap pendidikan di Rembau yang sebelum ini dipelopori oleh pusat-pusat kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Insitut Latihan Perindustrian (ILP), Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Giat Mara dan Kolej Komuniti.

Universiti ini dijangka membuat pengambilan pertama pada September 2016 dan pada peringkat awal ia akan mengambil kira-kira 1,500 pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Massa, 750 pelajar di Fakulti Pengurusan Maklumat dan 750 pelajar di Fakulti Pengurusan Perniagaan. 

Manakala apabila sampai tahap kematangannya nanti, universiti ini dijangka boleh menampung sehingga 5,000 pelajar.


Negeri Sembilan Sebagai Koridor Hab Pelajaran

Kerajaan negeri sememangnya berhasrat supaya lebih banyak institusi pendidikan tinggi (IPT) membuka kampus di negeri ini, seiring dengan fokus kerajaan bagi menjadikan Negeri Sembilan sebagai koridor hab pelajaran.
“Kita mahu mewujudkan pembangunan secara berinstitusi, meskipun pembangunan yang rancak berlaku tetapi identiti, lanskap tetap seperti asal. Salah satu sebab Rembau dipilih dalam pembinaan UiTM ketiga di Negeri Sembilan ialah hasrat Kerajaan Negeri untuk mengekalkan identiti kampung dan pada masa sama membangunkan kawasan sebegini tanpa memberikan kesan terhadap lanskap asalnya,”ujarnya.

Katanya, kehadiran pembangunan pendidikan memberi peluang kepada kemajuan di kawasan tersebut yang akan berlaku secara drastik. Justeru kehadiran pelajar dan tenaga pengajar yang ramai sekaligus melahirkan pelbagai permintaan asas seperti keperluan perumahan, buku dan alat tulis, pengangkutan dan sebagainya.

Lengkap Kemudahan Insfrastruktur

“Rembau  secara geografinya berada di kawasan yang sangat strategik. Ia dihubungi jajaran jalan raya yang sangat baik. Jarak perjalanan tidak sampai setengah jam ke Bandar Seremban, dihubungi ke Port Dickson, Kuala Pilah dan kawasan sekitarnya. Begitu juga melalui Lebuh Raya Utara Selatan yang hanya sejam ke Kuala Lumpur, sejam ke Melaka menerusi susur keluar di Pedas,” tambahnya lagi.

“Biarpun Rembau tidak terlibat dalam pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV), namun disebabkan Parlimen Rembau iaitu Rantau berada di daerah Seremban, maka saya yakin kesan pembangunan MVV dan limpahannya akan turut dirasai di kawasan Rembau,” katanya.

Selain itu, dari segi kemudahan pengangkutan awam, pada ketika ini Rembau telah dihubungi sistem  komuter dan sedang dalam proses menyediakan kemudahan keretapi laju (ETS) daripada Gemas-Kuala Lumpur yang hanya mengambil masa tidak sampai dua jam. Keretapi tersebut akan bermula di Gemas kemudian berhenti di stesen Tampin, Rembau dan Seremban.

Menurut Dato’ Zaifulbahri, univesiti ini lengkap dengan segala kemudahan termasuk asrama, dewan, makmal, pusat sukan dan lain-lain. Bagi kemudahan penempatan pelajar, pihak universiti hanya menyediakan kemudahan asrama kepada 50 peratus pelajar sahaja, manakala 50 peratus lagi akan tinggal di luar.

Ini bermakna permintaan terhadap keperluan tempat tinggal akan menjadi lebih tinggi di Rembau dan pada ketika ini pembangunan perumahan telah bermula di kawasan berdekatan bagi menyediakan keperluan penempatan pelajar kelak.

“Saya berharap agar kehadiran Kampus UiTM Rembau ini akan memberikan manfaat daripada aspek pendidikan dan menyebabkan limpahan rantaian pembangunan ekonomi di daerah ini,” ujar Dato' Zaifulbahri mengakhiri.


Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment