7 Konsep Reka Bentuk Stesen HSR KL-SG Termasuk N.Sembilan Dilancarkan



KUALA LUMPUR – Tanggal 17 Oktober 2017 telah tercipta satu sejarah apabila tujuh konsep reka bentuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur- Singapura dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan turut hadir bagi menyaksikan peristiwa penting dan bersejarah apabila reka bentuk dan rupa stesen-stesen dalam jajaran Kuala Lumpur-Singapura dilancarkan.

Majlis pelancaran reka bentuk yang diberi nama 'MyStations-Transforming Malaysia' itu, MyHSR Corporation memperkenalkan reka bentuk konsep seni bina untuk semua tujuh stesen Kuala Lumpur-Singapura di Malaysia termasuk Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Dalam mewujudkan prasarana termoden yang menghubungkan bandar-bandar moden di Malaysia, pembinaan stesen HSR Kuala Lumpur-Singapura adalah satu wawasan dan elemen yang sama penting bagi memacu Malaysia ke arah mencapai aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Reka bentuk setiap stesen dikonseptualisasikan untuk mencerminkan bukan sahaja pelbagai warisan, budaya dan identiti setiap bandar di sepanjang koridor HSR tetapi juga menunjukkan wawasan pertumbuhan yang akan dicapai menerusi projek ini.

Menurut Perdana Menteri, setiap daripada tujuh stesen di Malaysia itu adalah berdasarkan kajian meluas berserta usaha yang bukan sedikit dengan reka bentuknya bukan sahaja mengetengahkan elemen unik setiap bandar raya tetapi juga kreativiti dan inovasi tatkala negara menuju masa depan.
Pasukan pereka bentuk mengambil pendekatan perjalanan (MYJourney) dan mengaplikasikan tujuh tema utama iaitu MYGateway, MYPeople, MYVision, MYHeritage, MYFuture, MYCulture dan MYEncounter pada setiap daripada tujuh stesen di sepanjang laluan.
Setiap stesen direka dengan mengekalkan cerminan identiti dan warisan Malaysia yang ketara sambil pada masa sama berciri moden dan futuristik.
Stesen Bandar Malaysia
Stesen Bandar Malaysia di Kuala Lumpur adalah stesen yang pertama yang memperlihatkan reka bentuk daripada terjemahan semula pertembungan Sungai Klang dan Gombak iaitu simbolik perpaduan semua lapisan masyarakat.

Stesen Bangi-Putrajaya
Bagi stesen Bangi-Putrajaya yang terletak di sempadan Selangor dan Putrajaya, reka bentuknya dipengaruhi ciri-ciri seni bina Islam manakala stesen Seremban direka bentuk berdasarkan keagungan Istana Seri Menanti serta kehijauan hutan tropika Lembah Wawasan Malaysia.

Stesen Seremban
Stesen Seremban direka daripada ilham daripada kemegahan Istana Diraja Seri Menanti dan kehijauan tropika yang rimbun dalam Malaysia Vision Valley (MVV).

Stesen Melaka
Stesen Melaka pula diinspirasikan daripada sejarah Melaka sebagai pelabuhan perdagangan strategik pada zaman kegemilangannya dengan memberikan imej kapal dagang, simbol semangat keusahawanan masyarakat setempat.

Stesen Muar
Di selatan negeri Johor, stesen Muar mencerminkan kekayaan elemen kebudayaan Melayu dan diinspirasikan oleh rehal yang lazimnya digunakan untuk meletakkan al-Quran ketika pelajar belajar membacanya.

Reka bentuk itu merupakan simbol akan kepentingan pembelajaran yang ditanam dalam kebudayaan kita sejak sekian lama dan terus menjadi tonggak identiti kita sekarang dan pada masa depan.
Stesen Batu Pahat
Seterusnya stesen Batu Pahat diinspirasikan oleh kuda kepang yang memberi keseimbangan antara warisan dan pemodenan.

Stesen Iskandar Puteri
Stesen Iskandar Puteri diinspirasikan menerusi representasi berjabat tangan, menunjukkan peranan bandar itu sebagai bandar raya serantau untuk perdagangan bagi menjalankan perniagaan pada masa depan serta pertemuan antarabangsa, digabungkan dengan daya tarikan dan kemesraan Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, majlis ini menjadi penanda aras penting dalam perjalanan membina satu lagi mercu tanda dan projek ikonik yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi tanah air dan kesejahteraan rakyat.

Jelasnya lagi, Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah memperlihatkan sebanyak 2.26 juta peluang pekerjaan yang dicipta di negara ini sejak enam tahun lalu, di samping mengekalkan inflasi yang rendah pengangguran walaupun keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura  yang akan memulakan operasi pada 2026 dijangka akan memangkin pertumbuhan sosio ekonomi kedua-dua negara di samping mewujudkan peluang pelaburan dan pekerjaan yang lebih banyak bagi rakyat.

Terdahulu, pada 13 Disember 2016 Malaysia-Singapura telah menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek ini di Putrajaya.

HSR KL-Singapura adalah projek strategik antara kerajaan Malaysia dan Singapura yang bertujuan untuk memendekkan masa perjalanan 90 minit antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Projek ini dijangka dapat meningkatkan jaringan perniagaan dan mendekatkan hubungan antara kedua-dua negara.

Projek HSR KL-Singapura ini dijangka akan memulakan operasi pada 2026 dan dipercayai dapat memangkin pertumbuhan sosio ekonomi  Malaysia dan Singapura sambil mewujudkan peluang pelaburan dan pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat di negara ini.


Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment