DPNS: Syarat Rumah Mampu Milik Kategori A, C Bakal Dipinda

SEREMBAN – Memandangkan sambutan dan permintaan yang tinggi terhadap Rumah Mampu Milik Kategori A yang berharga RM80,000 ke bawah, Kerajaan Negeri Sembilan bercadang untuk meminda Dasar Perumahan Negeri Sembilan (DPNS) yang mula dilaksanakan pada tahun 2015.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, pindaan tersebut membabitkan Rumah Mampu Milik Kategori A berharga RM80,000 ke bawah yang dinaikkan daripada 15 peratus kepada 20 peratus, Kategori B berharga RM250,000 ke bawah kekal kepada 15 peratus dan Kategori C yang berharga RM400,000 ke bawah diturunkan daripada 20 peratus kepada 15 peratus.
Pindaan menurunkan Rumah Mampu Milik Kategori C adalah bagi mengimbangi pemilikan berikutan permintaan yang kurang menggalakkan.
Sehubungan itu, Menteri Besar telah meminta supaya diadakan perundingan semula dengan pemaju perumahan dan semua pihak yang terlibat.
Apabila dilaksanakan kelak, ini bermakna rumah yang berharga RM80,000 akan lebih banyak dibina bagi memenuhi permintaan rakyat dan memastikan Rumah Mampu Milik benar-benar mampu dilimiliki oleh orang ramai.
Menurut Menteri Besar, pindaan ini dilakukan apabila mendapati daripada 100 unit Rumah Mampu Milik yang ditawarkan dalam pembangunan perumahan Rumah Mampu Milik di Sunggala, Port Dickson, terdapat beribu-ribu jumlah permohonan bagi rumah kategori ini.
Situasi ini menunjukkan bahawa Rumah Mampu Milik Kategori A amat diminati dan mampu dibeli oleh kebanyakan lapisan masyarakat yang berpendapatan RM3,500 ke bawah.
Jelasnya lagi, biarpun pemaju kurang profit keuntungan daripada segi jualan tetapi pemaju jimat dari segi masa jualan dan pembinaan yang lebih cepat kerana sudah sedia ada pembeli yang berdaftar di Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta tidak perlu mengeluarkan kos mengiklan.
“Saya yakin pindaan ini akan mendatangkan kebaikan dan dapat memenuhi kehendak semua orang. Dalam masa sama pemaju dapat menjual rumah dengan cepat dan kerajaan dapat memastikan golongan yang berpendapatan rendah benar-benar dapat memiliki rumah,” kata Menteri Besar mengakhiri.

Pemaju Salur Keuntungan Kepada Masyarakat

Menerusi perubahan dasar ini, Menteri Besar mahu supaya pemaju perumahan memaksimumkan keuntungan yang diperoleh untuk disalurkan semula kepada masyarakat dalam bentuk pembinaan Rumah Mampu Milik yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, gelanggang futsal dan dewan.
Ini kerana harga rumah yang melambung tinggi sudah sampai ke satu tahap yang di luar kemampuan dan rakyat semakin gelisah.
Skim harga rumah DPNS ini adalah mengikut kemampuan lapisan masyarakat dan pendapatan dan Kerajaan Negeri Sembilan melalui Dasar Perumahan Negeri Sembilan telah melaksanakan pembinaan rumah mampu milik kategori A, B dan C mengikut kelayakan pemohon.
Melalui dasar ini, pemaju perumahan juga adalah diwajibkan membina 50 peratus daripada semua unit yang dibina dalam bentuk rumah mampu milik kategori yang ditetapkan.

Setakat ini, telah banyak unit rumah yang akan dan telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan seperti di Siliau Jaya (150 unit) dengan harga RM43,000, Tanah Merah (100 unit), Chembong (450 unit) dan akan dibangunkan lagi di Labu serta Sendayan.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment